Latar belakang Pertempuran_Kosovo

Pencerobohan Seljuk diikuti tentera Salib telah mengubah keseimbangan kuasa secara sepenuhnya di Timur Tengah. Empayar Byzantine merupakan mangsa kepada pencerobohan tersebut. Empayar Byzantine mula kehilangan wilayahnya kepada Seljuk pada abad ke-11 diikuti tentera Salib walaupun pada awalnya mereka berhasrat untuk menghulurkan bantuan. Ibu kota kerajaan Byzantine, Constantinople telah dijarah oleh bangsa Latin. Kesannya, keadaan di Anatolia telah menjadi berpecah-belah melebihi apa yang terjadi pada masa lampau. Komposisi etnik dan agama di Asia Kecil berubah dengan mendadak seiring kemasukan besar-besaran suku Turk. Bukan itu sahaja, tentera Mongol telah memulakan pencerobohan ke atas Anatolia pada tahun 1241. Pada tahun 1243, tentera Mongol telah menewaskan tentera Seljuk secara muktamad berhampiran kawasan moden Sivas. Kesultanan Seljuk seterusnya menjadi negeri naungan kepada Empayar Mongol dan salah satu pengganti Rom Timur, Empayar Nicaea telah memanfaatkan situasi ini. Pada tahun 1261, orang Yunani berjaya menguasai kota Constantinople dan memulihkan semula Empayar Byzantine di barat laut Anatolia dan Balkan. Malangnya, Mongol telah mengusir lebih ramai suku-suku Turk keluar dari Asia Tengah dan Dataran Iran ke Anatolia.

Pada tahun 1299, salah satu pemimpin daripada suku Turk tersebut yang bernama Uthman telah berhasil mendapatkan sedikit wilayah di sempadan Kesultanan Seljuk dan Empayar Byzantine kerana jasanya kepada tentera Seljuk. Pada tahun 1302, Uthman berjaya menewaskan tentera Byzantine berhampiran Nicaea. Kemudian, beliau telah mengambil kesempatan di sebalik keruntuhan Kesultanan Seljuk pada tahun 1308 untuk memperoleh kemerdekaan. Tidak seperti pemimpin-pemimpin Beylik yang lain, Uthman tidak mengambil peduli akan perang antara suku. Beliau dan keturunannya mengamalkan cara hidup Islam lebih menyeluruh berbanding pemerintah Seljuk sebelum ini. Keturunan mereka hanya mencari kejayaan dengan memerangi orang bukan Islam. Anak Uthman yang bernama Orhan telah berjaya merebut kota Prusa dari Byzantine yang pada hari ini dikenali sebagai Bursa. Beliau kemudiannya telah memindahkan ibu kotanya ke sana. Nicaea dan Nicomedia telah dikuasai oleh Orhan pada tahun 1331 dan 1337. Sejumlah kecil tentera beliau juga telah berjaya menyerbu daerah Byzantine di Eropah. Kerajaan Uthmaniyyah telah menguasai kota yang pertama di Eropah pada tahun 1354 setelah mereka memanfaatkan keruntuhan tembok Gallipoli akibat kejadian gempa bumi. Pada dekad seterusnya, kota Adrianople, Plovdiv dan Komotini telah ditakluk oleh Uthmaniyyah. Sultan Uthmaniyyah yang berikutnya iaitu Sultan Murad I telah memindahkan ibu kota kerajaannya ke Adrianople yang dikenali sebagai Edirne pada hari ini.

Medan dataran yang lapang di Kosovo.

Seolah-olah tidak ada yang mampu menghalang kemaraan Uthmaniyyah, Empayar Serbia yang kuat telah mengambil langkah mempersiapkan pertahanan negara untuk menghadapi ancaman dari Uthmaniyyah. Pada tahun 1371, Raja Vukasin cuba mengambil peluang di kala kebanyakan tentera Uthmaniyyah sedang berada di Asia untuk menguasai kota Adrianople serta mengusir Uthmaniyyah keluar dari Eropah. Dengan sekitar 35,000 tentera di bawah pimpinan Vukasin, mereka mara ke lembah Sungai Maritsa. Oleh kerana tidak ada jumlah bilangan tentera musuh yang signifikan, Raja Serbia itu tidak menghantar pengintipnya untuk memeriksa keadaan sekeliling sekali gus membiarkan kem mereka tidak dikawal dengan rapi. Tentera Uthmaniyyah yang hanya memiliki kekuatan kira-kira 1,000 perajurit dan tentera berkuda telah menyerang kem pasukan Serbia pada waktu malam. Ribuan tentera Serbia terkorban ketika sedang tidur dan ramai juga yang tenggelam ke dalam sungai semasa pertempuran tercetus. Raja Serbia, abangnya dan golongan aristokrat telah terkorban dalam pertempuran ini dan menandakan kemusnahan Empayar Serbia.

Hampir seluruh aristorat Serbia dan Bulgaria telah berada di bawah naungan Sultan Murad. Salah satu daripada ialah Putera Serbia Moravia, Lazar. Semasa kebanyakan tentera Uthmaniyyah bergerak ke Anatolia, Putera Lazar telah melancarkan pemberontakan bersama dengan pemimpin feudal tempatan. Pasukan Lazar telah menewaskan tentera Uthmaniyyah dalam Pertempuran Pločnik pada tahun 1386. Kemenangan beliau telah berjaya mengusir Uthmaniyyah keluar dari selatan Serbia. Kejayaan ini telah meningkatkan reputasi Putera Lazar sepuluh kali ganda dan beliau telah membentuk satu pakatan besar yang terdiri daripada orang Serbia, Bulgaria, Bosnia dan Albania. Bahkan, segelintir bangsawan dari Hungary dan Bohemia telah menyertai pakatannya. Tetapi untuk kali ini, mereka akan menghadapi pasukan terbaik Uthmaniyyah. Sultan Murad bersama dengan anak-anaknya iaitu Bayezid dan Yakub telah mara menuju ke Pristina pada Jun 1389. Sementara itu, Lazar bersama pasukannya telah menanti Uthmaniyyah di Kosovo, yang bermaksud lapangan burung-burung hitam dalam bahasa Serbia.